Pages

Featured Posts

.

April 18, 2012

Elakkan Minum Air Serta Merta


TIPS KESIHATAN 4 dari Kitab THIBBUN NABAWY: 
Elakkan dari meminum air secara serta merta SELEPAS BERSUKAN, KETIKA KELETIHAN, SELEPAS HUBUNGAN SEKSUAL SUAMI ISTERI, SEBELUM dan SELEPAS MAKAN, SELEPAS MAKAN BUAH-BUAHAN, SELEPAS MANDI dan SELEPAS TIDUR kerana membahayakan kesihatan tubuh. Jadi, berilah sedikit masa sebelum meminum air secara terus menerus.

April 9, 2012

4 Perkara Untuk Meremajakan Wajah

وأربعةٌ تَزيد فى ماء الوجه وبهجتِهِ: المروءةُ، والوفاءُ، والكرمُ، والتقوى. 
TIPS KESIHATAN 3 dari Kitab THIBBUN NABAWY: 
Amalkan 4 PERKARA ini kerana boleh memperelokkan atau MEREMAJAKAN KULIT WAJAH iaitu: BERSIFAT BAIK (sopan santun), SETIA & TIDAK MENYALAHI JANJI, MURAH HATI (dermawan) dan TAKUT KEPADA ALLAH (taqwa).

April 2, 2012

4 Perkara Memusnahkan Tubuh Badan


أربعةٌ تَهدِم البدن: الهمُّ، والحزنُ، والجوعُ، والسهرُ.

TIPS KESIHATAN 2 dari Kitab THIBBUN NABAWY: 
Elakkan daripada 4 perkara ini kerana boleh memusnahkan tubuh badan iaitu; KEMURUNGAN, KESEDIHAN, KELAPARAN dan BERJAGA MALAM (TIDUR LEWAT).

March 28, 2012

TELUR dan IKAN


وقال ابن بَخْتَيَشُوع:((احذرْ أن تجمعَ البَيْضَ والسَّمكَ، فإنهما يُورثان القُولنْج والبواسير، ووجعَ الأضراس))
TIPS KESIHATAN I daripada KITAB THIBBUN NABAWY: 
Elakkan daripada memakan TELUR dan IKAN secara bersamaan kerana boleh mengakibatkan sembelit, buasir dan sakit gigi.

February 24, 2012

Stress II: Implikasi dan Cara Menguruskannya

Implikasi

Seseorang yang mengalami stress yang berterusan tanpa henti dan jika ia tidak menguruskannya dengan baik, maka akan mengundang pelbagai penyakit fizikal antaranya;

Cardiovascular disease 
Penyakit kardiovaskular juga dikenali sebagai penyakit jantung. Sistem kardiovaskular terdiri daripada jantung dan pembuluh darah. Darah dipam oleh jantung dan diedarkan ke seluruh badan melalui saluran darah.

Asthma
Asma ialah penyakit kronik yang disebabkan oleh radang pada saluran pernafasan yang tidak  berjangkit dan boleh sembuh tetapi bertambah teruk jika tidak dikawal.

Diabetes
Diabetes juga dikenali sebagai penyakit kencing manis di mana seseorang yang menghadapi keadaan hyperglycemia iaitu tahap kandungan glukosa dalam darah yang tinggi.

Digestive disorders
Penyakit pencernaan merupakan penyakit yang melibatkan saluran pencernaan dan antara organ pencernaan yang terlibat adalah seperti esophagus, perut, duodenum, jejunum, ileum, usus dan lain-lain.

Skin disorders
Merupakan penyakit kulit.

Headaches and migraines
Ulcers

Tambahan itu, ramai juga ahli psikiatri yang berpendapat bahawa majoriti mereka yang stress mengalami sakit belakang.

Mereka yang sedang menghidap penyakit-penyakit tertentu adakala berasa sangat tertekan atau stress kerana memikirkan tentang keadaan diri mereka yang tidak bermaya, sakit dan membayangkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku seperti pembedahan, hilang kasih sayang, dipinggirkan, rasa menyusahkan orang lain dan kematian.

Ada beberapa penyakit yang dihidapi oleh seseorang sekiranya ia berada dalam keadaan stress yang bersangatan atau tahap kebimbangan yang tinggi, maka akan menyebabkan proses pembiakan, pengembangan dan penularan sel-sel atau virus penyakit akan bertindak dengan lebih cepat. Akibatnya penyakit akan bertambah menjadi semakin parah. Hal in terjadi kerana cara fikir dan pengawalan minda yang tidak stabil dan berfikiran negatif, maka memberi kesan kepada tubuh badan. Antara penyakit-penyakit itu ialah; Cancer, Epilepsy, Edema, Heart Attack, High Cholesterol, Ovarian Cyst, Hypertension, Impotence, Multiple Sclerosis, Raynaud’s Phenomenon, Shingles (Herpes Zoster) dan Tuberculosis (TB).
Elakkan daripada stress jika menghidap penyakit-penyakit ini

Pengurusan Stress

Terdapat pelbagai cara untuk menguruskan stress agar tidak menjadi lebih memudaratkan. Apabila mengalami stress bolehlah dicuba beberapa cara dan kaedah seperti ini:

Elakkan dari memakan makanan yang diproses seperti makanan dalam tin, makanan segera dan lebih-lebih lagi yang mempunyai perisa, pewarna, pemanis tiruan serta bahan kimia seperti MSG dan sebagainya. Selain itu, menghindari dari makanan yang bergoreng, terlalu pedas, daging merah dan makanan ringan.

Perbanyakkan makan makanan yang segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana mempunyai vitamin dan mineral serta kaya dengan sebatian yang dipanggil flavonoid. Sebatian flavonoid ini dikenalpasti mempunyai kesan anti-allergic, anti-cancer, anti-microbial, anti-inflammatory dan anti-virus.

Elakkan pengambilan caffeine kerana boleh menyumbang kepada perasaan gementar dan boleh mengganggu pola tidur.

Melakukan senaman-senaman ringan yang santai.

Belajar menjadi seorang yang tenang, berfikiran positif dan banyakkan guna otak kanan.

Cuba tidur awal setiap malam.

Mengenalpasti punca sesuatu masalah agar lebih mudah untuk menghadapinya.

Meluangkan masa untuk seketika waktu seperti pergi bercuti dan sebagainya.

Belajar untuk tidak terlalu serius dalam hidup dan senyum selalu. Adakalanya perlu untuk ketawa dan berjenaka.

Mendengar muzik yang santai seperti lagu-lagu nasyid, zikir, selawat, instrument, symphony dan sebagainya.

Membantu mempermudahkan urusan orang lain.

Terima ketidaksempurnaan diri sendiri dan orang lain.

Ubah masalah kepada sebuah peluang untuk berjaya.

Elakkan dari terpengaruh dengan desas-desus.

Sebagai seorang Muslim, terapi stress yang terbaik adalah terapi spiritual yang bukan sahaja mengurangkan tekanan dan ketegangan malah mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Antara terapi spiritual yang boleh diamalkan ialah:

Mengamalkan membaca istighfar sekurang-kurangnya 100 kali setiap hari

“Aku minta ampun daripada Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain daripadaNya, yang hidup dan yang menguruskan makhlukNya dan aku bertaubat kepadaNya.”

Mengamalkan doa di bawah:

Membaca dan mendengar bacaan Al Quran setiap hari.
Boleh membaca Al Quran secara online:
Atau mendengar bacaan Al Quran:

Memperbanyakkan berzikir dan berselawat
Memperbanyakkan bersedeqah
Berpuasa
Mengerjakan solat-solat sunat terutama Solat Sunat Taubat

Semoga dengan paparan ringkas ini sedikit sebanyak memberi info agar kita semua terhindar dari stress yang bersangatan sehingga memudaratkan dan mengundang pelbagai penyakit yang tidak dijangka. Amalkan gaya hidup sihat agar menjadi sihat sepanjang hayat.

Al faqir ilallah;
HISHAM MOHAMAD


February 22, 2012

Stress I: Pengenalan, Punca dan Simptom

Pengenalan

Stress atau tekanan merupakan tindakbalas seseorang terhadap sesuatu bebanan yang ditanggung secara berlebihan dalam suatu masa dan berasa bimbang tidak dapat menampungnya.

Reaksi seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi yang tegang mempunyai hubungkait antara psikologikal dan fizikal iaitu minda dan tubuh badan. Jika tidak dikawal dengan baik maka akan memberi impak yang negatif kepada kesihatan mental, fizikal dan spiritual.

Stress berlaku apabila seseorang tidak dapat menerima situasi atau keadaan yang dihadapinya. Ianya boleh dilihat kepada beberapa perkara antaranya sesuatu perkara yang diinginkan tetapi tidak dapat setelah berusaha untuk mendapatkannya. Selain itu, rasa ego dalam diri dicabar atau disakiti oleh orang lain seperti dikritik, ditegur dan dilontarkan dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Kehilangan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan juga boleh menyebabkan berlakunya stress.

Pelbagai perasaan dan emosi akan muncul ketika stress iaitu samada risau atau bimbang, takut, sedih, murung dan marah.

Stress terbahagi kepada dua iaitu positive stress dan negative stress. Tekanan juga boleh mempunyai kesan positif, menggalakkan motivasi dan kesedaran serta menyediakan rangsangan untuk menangani situasi yang mencabar. Tekanan seperti ini akan menyebabkan seseorang itu lebih peka dan menyegerakan sesuatu tindakan bagi menghadapi keadaan yang berlaku.

Tekanan yang negatif pada peringkat yang kecil akan menimbulkan beberapa kesan seperti sakit kepala, masalah penghadaman, masalah kulit, insomnia dan ulcer. Akan tetapi, jika tekanan berlebihan, berpanjangan dan tidak henti-henti boleh memberi kesan yang berbahaya pada kesihatan mental, fizikal dan rohani yang akan mengundang pelbagai penyakit kronik.

Punca Stress

Terdapat banyak sebab atau punca berlakunya stress samada internal atau external iaitu masalah dalaman diri atau masalah luaran. Antara sebab-sebab yang boleh disenaraikan sebagai punca berlakunya stress adalah:

Kematian orang yang paling rapat atau yang disayangi seperti kematian suami, isteri, ibu, bapa, ahli keluarga dan rakan karib.
Perceraian antara suami dan isteri.
Konflik dalam keluarga
Diberhentikan atau kehilangan pekerjaan.
Sukar mendapatkan pekerjaan.
Tiada pekerjaan.
Menanggung beban hutang yang banyak.
Bercitarasa yang tinggi dalam kehidupan tetapi tidak berkemampuan.
Belum menemui jodoh dalam usia yang sedang meningkat.
Belum mendapat zuriat walaupun sudah lama berumahtangga.
Masalah seksual.
Pertambahan tugas di tempat kerja atau di rumah.
Konflik di tempat kerja.
Perpisahan dengan anak-anak.
Menghadapi tindakan undang-undang.
Gagal dalam sesuatu ujian atau peperiksaan.

Setiap orang akan menghadapi pelbagai bentuk dan jenis masalah serta situasi yang berbeza-beza yang menyebabkan berlakunya stress. Walau bagiamanapun, sebagai seorang Muslim hendaklah percaya dan yakin bahawa setiap masalah yang dihadapi merupakan ujian daripada Allah SWT yang ingin menguji keimanan hamba-hambaNya sejauh mana ia menjadi seorang yang bertaqwa atau sebaliknya. 

Allah SWT telah berfirman dalam Al Quran Surah Al Ankabut ayat 2-3:


“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”

Simptom

Simptom bagi stress dibahagikan kepada 4 simptom iaitu: Simptom fizikal, simptom  mental, simptom tingkahlaku dan simptom emosi. 

Simptom FIZIKAL
Terdapat beberapa simptom boleh berlaku pada fizikal seseorang iaitu perubahan corak tidur samada kurang tidur, terlebih tidur, sukar tidur, resah gelisah atau tidak selesa ketika hendak tidur. Selain itu, keletihan, perubahan penghadaman, sakit kepala, kesakitan pada bahagian-bahagian tubuh badan, senak perut, pening, pengsan, berpeluh dan menggeletar, rasa sesemut pada tangan dan kaki, sesak nafas dan berdebar-debar.

Simptom MENTAL
Ketika berlakunya stress, fungsi mental seseorang akan sedikit terganggu iaitu kurangnya daya penumpuan atau pemfokusan, sukar mengingat, sukar membuat sesuatu keputusan, mudah keliru dan menjadi panik. 

Simptom TINGKAHLAKU
Perubahan juga boleh dilihat pada tingkahlaku dan sikap seseorang iaitu perubahan selera makan samada makan terlalu banyak atau terlalu sedikit. Selain itu, gangguan cara pemakanan samada mengalami anorexia atau bulimia, pengambilan ubat-ubatan, minuman keras, merokok, dadah dan melakukan sesuatu perkara yang bertentangan norma masyarakat, kegelisahan, dan suka menggigit kuku.

Simptom EMOSI
Dari aspek emosi, akan terlihat beberapa perkara iaitu berlakunya kemurungan, hilang sifat sabar, marah, kemerosotan penjagaan kebersihan dan penampilan diri.


Al faqir ilallah:
HISHAM MOHAMAD


December 20, 2011

Hidup Sihat Cara Rasulullah SAW

Rasulullah SAW telah mengajar umatnya pelbagai perkara dalam aspek kehidupan duniawi mahupun ukhrawi. Setiap perkara yang diajarkannya sudah tentu ada hikmah dan barakahnya yang tersembunyi. Sebagai umat baginda Nabi SAW adalah menjadi tanggungjawab untuk menelusuri sunnah yang ditinggalkannya agar kehidupan yang dilalui setiap hari ini menjadi lebih baik dan termasuk dalam golongan muttaqin. Begitulah pesanan baginda seperti yang disebut dalam sebuah hadith:

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku." 

(HR Imam Muslim dari Jabir (2/240), Sunan Abu Daud 1825 dan lain-lain.)

Perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh Nabi SAW jika dikaji satu persatu dari aspek perubatan banyak menjurus ke arah kesihatan tubuh seseorang dan bersifat pencegahan sesuatu penyakit. Antara perkara utama yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga kesihatan ialah menitikberatkan tentang soal pemakanan. Ini kerana makan dan minum mempunyai hubungkait yang sangat rapat terhadap tumbesaran tubuh, memberi tenaga, penghasilan hormon, penyeimbangan unsur panas dan sejuk, menguatkan tulang dan kecerdasan akal fikiran.

Makan dan Minum Nabi SAW untuk Penjagaan Kesihatan

Rasulullah SAW minum dengan 3 kali nafas iaitu bernafas di luar gelas dan melarang bernafas di dalam gelas. Ketika hendak minum Rasulullah SAW memulakan dengan menyebut bismillah dan setelah selesai baginda menyebut alhamdulillah. Meneguk minuman hendaklah dengan lembut dan secara perlahan-lahan dan tidak gopoh atau kasar iaitu minum secara sekaligus tanpa henti sehingga kenyang.

Hikmah disebalik minum dengan 3 kali nafas ialah lebih cepat menghilangkan dahaga, lebih menyihatkan dan lebih menepati perut. Rasulullah SAW berpesan agar jangan minum dengan tergesa-gesa iaitu minum secara sekaligus kerana boleh menyebabkan sakit dada.

Dari aspek pemakanan, Rasulullah SAW memakan tamar basah dan timun secara bersamaan sebagai mengimbangi unsur panas dan sejuk dalam tubuh. Penyeimbangan unsur panas dan sejuk adalah merupakan aspek penting dalam perubatan kerana tubuh yang mempunyai unsur yang seimbang adalah sihat dan terhindar dari serangan penyakit. Imam Al Qurtubi rahimahullah menyebut bahawa tamar basah mempunyai unsur panas dan timun berunsur sejuk. 


Air dan Wudhu'


Islam mengajar umatnya tentang penjagaan kebersihan. Mengapa kebersihan sangat dititikberatkan? Kerana kebersihan mempunyai hubung kait dengan kesihatan. Di dalam kitab Fiqh Imam Syafie rahimahullah, perkara pertama yang dibicarakan selepas bab aqidah ialah bab taharah atau bersuci dari sebarang kekotoran dan najis yang menunjukkan bahawa perkara utama bagi seseorang muslim itu memulakan kehidupannya ialah dengan membersihkan dirinya agar menjadi lebih bertenaga, sihat dan kuat untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT.


Air (H2O) merupakan unsur terpenting dalam kehidupan manusia untuk pelbagai guna. Walaupun begitu, tidak semua jenis air boleh digunakan untuk tujuan menyucikan kotoran dan najis. Islam menggariskan hanya terdapat 7 punca air utama sahaja yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu air laut, air sungai, air telaga, air hujan, air mata air, air embun dan salji. Jika dikaji mengapa perlu menggunakan 7 punca air ini sahaja? Air-air ini merupakan air yang mempunyai oxygen dan energy yang luar biasa yang jika digunakan dengan betul akan memberi kesan kesihatan
yang baik pada tubuh.

Berwudhu' adalah salah satu syarat untuk mendirikan solat dan berdosa jika seseorang itu solat tanpa wudhu'.  Terdapat beberapa jenis terapi dalam berwudhu' seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Air digunakan untuk berwudhu' dan oleh kerana wudhu' menggunakan air, maka bolehlah dikatakan wudhu' sebagai hydrotherapy. Hydrotherapy adalah kaedah rawatan yang menggunakan air untuk tujuan melegakan sengal-sengal badan, melegakan otot dan sendi, mengurangkan demam, melegakan pening kepala dan meningkatkan kesihatan fizikal. Selain itu, dalam wudhu' juga ada terapi reflexology dan acupressure.


Wudhu' pada rukunnya cuma ada 6 rukun iaitu niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh kedua kaki hingga ke buku lali dan tertib. Akan tetapi, wudhu' menjadi lebih sempurna dengan adanya sunnah wudhu' seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW dan setiap sunnah itu tentu ada hikmah disebaliknya.


Membasuh tangan merupakan sunnah dalam berwudhu' iaitu dengan memulakan dengan tangan kanan, menggosok, memutarkan tangan kanan ke tangan kiri dan sebaliknya, kemudian menyelati dan menyilangkan jari-jemari dan melakukannya sebanyak 3 kali. Tangan yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai kuasa tenaganya yang tersendiri. Dalam terapi hand reflexology seseorang yang melakukan seperti ini bukan sahaja dapat melancarkan peredaran darahnya secara tidak langsung malah akan menguatkan beberapa bahagian tubuh seperti mata, telinga, bahu, kepala, paru-paru, liver, perut, pundi kencing, ginjal, usus, payudara dan jantung serta dapat menghindarkan terkena penyakit-penyakit.

Selepas membasuh tangan disunatkan pula untuk berkumur-kumur. Antara hikmah berkumur-kumur adalah dapat membersihkan dalaman mulut dari sisa-sisa makanan. Di samping itu dapat menjaga gigi, gusi dan memberi nafas yang lebih segar.


Seterusnya memasukkan sedikit air ke dalam hidung, menyedut dan menghembuskannya atau disebut sebagai istinsyaq. Ada kajian yang telah dilakukan dan mengatakan bahawa dengan melakukan istinsyaq dapat membersihkan hidung dari kuman dan kotoran. Selain itu, cara ini juga dapat membantu menyihatkan hidung, kerongkong dan paru-paru. Ada pendapat mengatakan istinsyaq boleh menghindarkan dari terkena penyakit resdung.


Membasuh muka merupakan rukun dalam wudhu'. Antara kelebihan membasuh muka sebanyak 3 kali dengan cara yang betul mengikut sunnah ialah dapat membersihkan segala kotoran yang ada pada wajah, menegangkan kulit muka, awet muda iaitu dengan cara mengurut sedikit kulit pipi ke arah atas, menaikkan seri wajah dan menajamkan penglihatan. Selain itu, membantu menguatkan organ-organ tubuh seperti ginjal, usus, jantung, perut, paru-paru, limpa, liver dan pundi kencing. Bagaimana proses ini berlaku ialah kerana pada kulit wajah terdapat beberapa titik acupuncture dan meridians yang apabila diaktifkan akan menghasilkan energy atau chi yang akan mengalir ke seluruh tubuh. Penggabungan hydrotherapy dan acupressure secara tidak langsung ini membantu memantapkan dan meningkatkan energy dan tahap kesihatan seseorang.


Menyapu sedikit air di bahagian kepala adalah salah satu dari rukun wudhu' dan sunnahnya adalah menyapu keseluruhan kepala. Antara hikmahnya adalah menguatkan ginjal, melegakan sakit kepala dan menghilangkan panas.

Sunnah wudhu' yang lain adalah membasuh kedua-dua telinga. Sejak lebih 1400 tahun dulu, Rasulullah SAW telah mengajar umatnya ilmu tentang urutan pada telinga ini. Ilmu yang sangat luar biasa ini sebenarnya telah ada dalam wudhu' dan dipraktikkan oleh umat Islam tanpa sedar akan manfaat dan kelebihannya. 

Telinga mempunyai titik acupressure yang sangat banyak sehingga meliputi seluruh tubuh badan manusia. Antaranya ialah anggota dan organ tubuh badan seperti tangan, kaki, tulang belakang, mata, mulut, gigi, paru-paru, limpa, perut, liver, jantung, saluran kencing dan sebagainya. Ini bermakna seseorang yang mengamalkan mengurut telinganya ketika berwudhu' sebanyak 3 kali setiap kali berwudhu' akan membantu menyihatkan seluruh tubuhnya secara tidak langsung kerana menggunakan 3 terapi serentak iaitu hydrotherapy, acupressure dan ear reflexology

Akhir sekali ialah membasuh kaki sebagai melengkapkan rukun wudhu'. Sunnahnya adalah membasuh kaki dengan cara meratakan air sehingga ke buku lali dan menyelati di celah-celah jari kaki sebanyak 3 kali yang dimulakan dengan kaki kanan. Kaki mempunyai titik reflexology yang banyak dan merangkumi keseluruhan tubuh badan manusia.

Mengurut tapak kaki atau dikenali sebagai terapi reflexology merupakan salah satu cabang ilmu perubatan yang terkenal di seluruh dunia yang dapat membantu merawat pelbagai jenis penyakit. Antaranya ialah dapat melancarkan pengaliran darah, meningkatkan daya tahan individu, mengurangkan risiko tulang reput, menyeimbangkan kedudukan badan, melancarkan pergerakan, menguatkan otot kaki, mengurangkan risiko kencing tidak lawas, menguatkan tulang dan pinggul, mengurangkan risiko sakit sendi, mengurangkan rasa letih, mengelak risiko sembelit, mengurangkan masalah usus dan mengurangkan masalah pada bahagian peranakan.

Tulisan ini hanyalah sebuah bacaan ilmiah secara ringkas sahaja. Jika dihuraikan hasil kajian secara lebih terperinci tentang kelebihan-kelebihan yang tersembunyi di sebalik sunnah Rasulullah SAW itu sudah tentu terlampau banyak. Apa yang penting mengamalkan sunnah secara istiqamah dan perlulah mengetahui sedikit sebanyak kelebihan-kelebihannya. Umat Islam seharusnya peka dengan sesuatu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dalam dunia moden hari ini, orang kafir yang bersungguh-sungguh mengkaji sunnah Rasulullah SAW dan mereka mengkomersialkannya dalam bentuk perniagaan yang menguntungkan dan oleh kerana kelekaan, maka umat Islam ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Kita sering mengaku cintakan Nabi SAW tetapi persoalannya sejauh mana kita mengamalkan sunnah yang ditinggalkan baginda dan sejauh mana kita mengkajinya. Tulisan ini cuma membicarakan tentang sunnah dari aspek perubatan dan kesihatan sahaja tidak dari perspektif yang lain.

Konklusinya, berdasarkan ilmu yang diajarkan oleh Nabi SAW ini, umat Islam mesti menjadi umat yang jauh lebih sihat dan kuat berbanding orang-orang kafir.

Malu rasanya mengatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Didalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya ku turuti ajarannya
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya
Moga didunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerana budinya aku jatuh cinta
Rindu ku padanya tiada terkata
Nantikanlah daku ditaman syurga

Sesungguhnya apa yang ku dambakan
Adalah cinta Allah yang Esa
Kerana cinta kepada Rasulullah
Bererti cinta kepada Allah



Al faqir ilallah:
HISHAM MOHAMAD