Pages

December 20, 2011

Hidup Sihat Cara Rasulullah SAW

Rasulullah SAW telah mengajar umatnya pelbagai perkara dalam aspek kehidupan duniawi mahupun ukhrawi. Setiap perkara yang diajarkannya sudah tentu ada hikmah dan barakahnya yang tersembunyi. Sebagai umat baginda Nabi SAW adalah menjadi tanggungjawab untuk menelusuri sunnah yang ditinggalkannya agar kehidupan yang dilalui setiap hari ini menjadi lebih baik dan termasuk dalam golongan muttaqin. Begitulah pesanan baginda seperti yang disebut dalam sebuah hadith:

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku." 

(HR Imam Muslim dari Jabir (2/240), Sunan Abu Daud 1825 dan lain-lain.)

Perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh Nabi SAW jika dikaji satu persatu dari aspek perubatan banyak menjurus ke arah kesihatan tubuh seseorang dan bersifat pencegahan sesuatu penyakit. Antara perkara utama yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga kesihatan ialah menitikberatkan tentang soal pemakanan. Ini kerana makan dan minum mempunyai hubungkait yang sangat rapat terhadap tumbesaran tubuh, memberi tenaga, penghasilan hormon, penyeimbangan unsur panas dan sejuk, menguatkan tulang dan kecerdasan akal fikiran.

Makan dan Minum Nabi SAW untuk Penjagaan Kesihatan

Rasulullah SAW minum dengan 3 kali nafas iaitu bernafas di luar gelas dan melarang bernafas di dalam gelas. Ketika hendak minum Rasulullah SAW memulakan dengan menyebut bismillah dan setelah selesai baginda menyebut alhamdulillah. Meneguk minuman hendaklah dengan lembut dan secara perlahan-lahan dan tidak gopoh atau kasar iaitu minum secara sekaligus tanpa henti sehingga kenyang.

Hikmah disebalik minum dengan 3 kali nafas ialah lebih cepat menghilangkan dahaga, lebih menyihatkan dan lebih menepati perut. Rasulullah SAW berpesan agar jangan minum dengan tergesa-gesa iaitu minum secara sekaligus kerana boleh menyebabkan sakit dada.

Dari aspek pemakanan, Rasulullah SAW memakan tamar basah dan timun secara bersamaan sebagai mengimbangi unsur panas dan sejuk dalam tubuh. Penyeimbangan unsur panas dan sejuk adalah merupakan aspek penting dalam perubatan kerana tubuh yang mempunyai unsur yang seimbang adalah sihat dan terhindar dari serangan penyakit. Imam Al Qurtubi rahimahullah menyebut bahawa tamar basah mempunyai unsur panas dan timun berunsur sejuk. 


Air dan Wudhu'


Islam mengajar umatnya tentang penjagaan kebersihan. Mengapa kebersihan sangat dititikberatkan? Kerana kebersihan mempunyai hubung kait dengan kesihatan. Di dalam kitab Fiqh Imam Syafie rahimahullah, perkara pertama yang dibicarakan selepas bab aqidah ialah bab taharah atau bersuci dari sebarang kekotoran dan najis yang menunjukkan bahawa perkara utama bagi seseorang muslim itu memulakan kehidupannya ialah dengan membersihkan dirinya agar menjadi lebih bertenaga, sihat dan kuat untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT.


Air (H2O) merupakan unsur terpenting dalam kehidupan manusia untuk pelbagai guna. Walaupun begitu, tidak semua jenis air boleh digunakan untuk tujuan menyucikan kotoran dan najis. Islam menggariskan hanya terdapat 7 punca air utama sahaja yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu air laut, air sungai, air telaga, air hujan, air mata air, air embun dan salji. Jika dikaji mengapa perlu menggunakan 7 punca air ini sahaja? Air-air ini merupakan air yang mempunyai oxygen dan energy yang luar biasa yang jika digunakan dengan betul akan memberi kesan kesihatan
yang baik pada tubuh.

Berwudhu' adalah salah satu syarat untuk mendirikan solat dan berdosa jika seseorang itu solat tanpa wudhu'.  Terdapat beberapa jenis terapi dalam berwudhu' seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Air digunakan untuk berwudhu' dan oleh kerana wudhu' menggunakan air, maka bolehlah dikatakan wudhu' sebagai hydrotherapy. Hydrotherapy adalah kaedah rawatan yang menggunakan air untuk tujuan melegakan sengal-sengal badan, melegakan otot dan sendi, mengurangkan demam, melegakan pening kepala dan meningkatkan kesihatan fizikal. Selain itu, dalam wudhu' juga ada terapi reflexology dan acupressure.


Wudhu' pada rukunnya cuma ada 6 rukun iaitu niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh kedua kaki hingga ke buku lali dan tertib. Akan tetapi, wudhu' menjadi lebih sempurna dengan adanya sunnah wudhu' seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW dan setiap sunnah itu tentu ada hikmah disebaliknya.


Membasuh tangan merupakan sunnah dalam berwudhu' iaitu dengan memulakan dengan tangan kanan, menggosok, memutarkan tangan kanan ke tangan kiri dan sebaliknya, kemudian menyelati dan menyilangkan jari-jemari dan melakukannya sebanyak 3 kali. Tangan yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai kuasa tenaganya yang tersendiri. Dalam terapi hand reflexology seseorang yang melakukan seperti ini bukan sahaja dapat melancarkan peredaran darahnya secara tidak langsung malah akan menguatkan beberapa bahagian tubuh seperti mata, telinga, bahu, kepala, paru-paru, liver, perut, pundi kencing, ginjal, usus, payudara dan jantung serta dapat menghindarkan terkena penyakit-penyakit.

Selepas membasuh tangan disunatkan pula untuk berkumur-kumur. Antara hikmah berkumur-kumur adalah dapat membersihkan dalaman mulut dari sisa-sisa makanan. Di samping itu dapat menjaga gigi, gusi dan memberi nafas yang lebih segar.


Seterusnya memasukkan sedikit air ke dalam hidung, menyedut dan menghembuskannya atau disebut sebagai istinsyaq. Ada kajian yang telah dilakukan dan mengatakan bahawa dengan melakukan istinsyaq dapat membersihkan hidung dari kuman dan kotoran. Selain itu, cara ini juga dapat membantu menyihatkan hidung, kerongkong dan paru-paru. Ada pendapat mengatakan istinsyaq boleh menghindarkan dari terkena penyakit resdung.


Membasuh muka merupakan rukun dalam wudhu'. Antara kelebihan membasuh muka sebanyak 3 kali dengan cara yang betul mengikut sunnah ialah dapat membersihkan segala kotoran yang ada pada wajah, menegangkan kulit muka, awet muda iaitu dengan cara mengurut sedikit kulit pipi ke arah atas, menaikkan seri wajah dan menajamkan penglihatan. Selain itu, membantu menguatkan organ-organ tubuh seperti ginjal, usus, jantung, perut, paru-paru, limpa, liver dan pundi kencing. Bagaimana proses ini berlaku ialah kerana pada kulit wajah terdapat beberapa titik acupuncture dan meridians yang apabila diaktifkan akan menghasilkan energy atau chi yang akan mengalir ke seluruh tubuh. Penggabungan hydrotherapy dan acupressure secara tidak langsung ini membantu memantapkan dan meningkatkan energy dan tahap kesihatan seseorang.


Menyapu sedikit air di bahagian kepala adalah salah satu dari rukun wudhu' dan sunnahnya adalah menyapu keseluruhan kepala. Antara hikmahnya adalah menguatkan ginjal, melegakan sakit kepala dan menghilangkan panas.

Sunnah wudhu' yang lain adalah membasuh kedua-dua telinga. Sejak lebih 1400 tahun dulu, Rasulullah SAW telah mengajar umatnya ilmu tentang urutan pada telinga ini. Ilmu yang sangat luar biasa ini sebenarnya telah ada dalam wudhu' dan dipraktikkan oleh umat Islam tanpa sedar akan manfaat dan kelebihannya. 

Telinga mempunyai titik acupressure yang sangat banyak sehingga meliputi seluruh tubuh badan manusia. Antaranya ialah anggota dan organ tubuh badan seperti tangan, kaki, tulang belakang, mata, mulut, gigi, paru-paru, limpa, perut, liver, jantung, saluran kencing dan sebagainya. Ini bermakna seseorang yang mengamalkan mengurut telinganya ketika berwudhu' sebanyak 3 kali setiap kali berwudhu' akan membantu menyihatkan seluruh tubuhnya secara tidak langsung kerana menggunakan 3 terapi serentak iaitu hydrotherapy, acupressure dan ear reflexology

Akhir sekali ialah membasuh kaki sebagai melengkapkan rukun wudhu'. Sunnahnya adalah membasuh kaki dengan cara meratakan air sehingga ke buku lali dan menyelati di celah-celah jari kaki sebanyak 3 kali yang dimulakan dengan kaki kanan. Kaki mempunyai titik reflexology yang banyak dan merangkumi keseluruhan tubuh badan manusia.

Mengurut tapak kaki atau dikenali sebagai terapi reflexology merupakan salah satu cabang ilmu perubatan yang terkenal di seluruh dunia yang dapat membantu merawat pelbagai jenis penyakit. Antaranya ialah dapat melancarkan pengaliran darah, meningkatkan daya tahan individu, mengurangkan risiko tulang reput, menyeimbangkan kedudukan badan, melancarkan pergerakan, menguatkan otot kaki, mengurangkan risiko kencing tidak lawas, menguatkan tulang dan pinggul, mengurangkan risiko sakit sendi, mengurangkan rasa letih, mengelak risiko sembelit, mengurangkan masalah usus dan mengurangkan masalah pada bahagian peranakan.

Tulisan ini hanyalah sebuah bacaan ilmiah secara ringkas sahaja. Jika dihuraikan hasil kajian secara lebih terperinci tentang kelebihan-kelebihan yang tersembunyi di sebalik sunnah Rasulullah SAW itu sudah tentu terlampau banyak. Apa yang penting mengamalkan sunnah secara istiqamah dan perlulah mengetahui sedikit sebanyak kelebihan-kelebihannya. Umat Islam seharusnya peka dengan sesuatu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dalam dunia moden hari ini, orang kafir yang bersungguh-sungguh mengkaji sunnah Rasulullah SAW dan mereka mengkomersialkannya dalam bentuk perniagaan yang menguntungkan dan oleh kerana kelekaan, maka umat Islam ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Kita sering mengaku cintakan Nabi SAW tetapi persoalannya sejauh mana kita mengamalkan sunnah yang ditinggalkan baginda dan sejauh mana kita mengkajinya. Tulisan ini cuma membicarakan tentang sunnah dari aspek perubatan dan kesihatan sahaja tidak dari perspektif yang lain.

Konklusinya, berdasarkan ilmu yang diajarkan oleh Nabi SAW ini, umat Islam mesti menjadi umat yang jauh lebih sihat dan kuat berbanding orang-orang kafir.

Malu rasanya mengatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Didalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya ku turuti ajarannya
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya
Moga didunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerana budinya aku jatuh cinta
Rindu ku padanya tiada terkata
Nantikanlah daku ditaman syurga

Sesungguhnya apa yang ku dambakan
Adalah cinta Allah yang Esa
Kerana cinta kepada Rasulullah
Bererti cinta kepada Allah



Al faqir ilallah:
HISHAM MOHAMAD


December 13, 2011

Mengenal Buah Pinggang

Pengenalan

Buah pinggang juga dikenali sebagai ginjal iaitu organ kembar yang terlibat dalam sistem urinari seseorang. Tugas terpenting sistem urinari adalah mengeluarkan bahan buangan dan membantu badan mengekalkan homeostasis. Homeostasis dapat dikekalkan dengan mengawal kandungan dan isi padu darah. Sistem urinari mengekalkan homeostasis dengan mengeluarkan atau menyimpan isi padu air dan bahan larutan terpilih. 


Setiap orang memiliki sepasang ginjal yang terletak di kanan dan kiri tubuh. Lokasinya ialah di belakang perut atau abdomen, kanan dan kiri  tulang belakang, di bawah hati dan limpa. Di bahagian atas (superior) ginjal terdapat kalenjar adrenal yang juga disebut sebagai suprarenal glands. Ginjal bersifat retroperitoneal yang bererti terletak di belakang peritoneum yang melapisi rongga abdomen. Kedua ginjal terletak di sekitar vertebra T12 hingga L3. Ginjal kanan biasanya terletak sedikit di bawah ginjal kiri untuk memberi tempat kepada hati.

Ginjal atau buah pinggang merupakan organ ekskresi dalam vetebrata yang bentuknya mirip kacang merah. Ekskresi adalah proses pembuangan sisa metabolisme dan benda tidak berguna lainnya.  

Fungsi Buah Pinggang atau Ginjal

Fungsi utama buah pinggang atau ginjal adalah untuk mengatur volume dan kandungan kimiawi darah dan sebagai penyaring kotoran (terutama urea) dari darah dan membuangnya bersama dengan air dalam bentuk urin. Selain itu juga berperanan dalam menghasilkan erythropoietin (EPO) yang menstimulasi produksi sel darah merah. Apabila ginjal telah mengesan bahawa jumlah sel darah merah dalam tubuh berkurang, maka ginjal merangsang produksi dan pelepasan lebih banyak sel darah. Ginjal juga menghasilkan metabolisme vitamin D iaitu calcitriol yang merupakan bentuk aktif dari vitamin D dan diperolehi daripada calciferol dan fungsinya supaya vitamin D bertahan dalam darah. Renin yang merupakan enzim juga disekresi oleh ginjal. Sekresi atau secretion adalah proses melepaskan untuk membuat dan melepaskan bahan kimiawi dalam bentuk lendir. Munculnya renin kerana ada rangsangan, tekanan dan konsentrasi air dan sodium, maka jika ia menurun, maka keluar renin dari liver merangsang angiotensinogen

Pemahaman yang lebih mudah untuk masyarakat awam memahami akan fungsi buah pinggang ialah sebagai pembersih bahan dan cecair berlebihan dari dalam darah. Menapis dan membantu memperbetulkan tekanan darah dan menentukan bilangan sel darah. Seterusnya berfungsi menyingkirkan kotoran dalm bentuk cecair melalui air kencing.

Sakit Buah Pinggang

Pesakit yang mengalami masalah atau gangguan pada buah pinggang tidak semestinya berasa sakit pada kedua-dua belah kiri dan kanan pinggangnya seperti mana mereka yang mengalami sakit jantung yang terpaksa memegang dada ketika berlakunya serangan jantung. Kadangkala pesakit sendiri tidak menyedari yang dia sedang mengalami kelemahan fungsi buah pinggangnya, sehinggalah dilakukan diagnosis ke atasnya atau mengalami simptom-simptom tertentu.

Terdapat banyak penyakit yang melibatkan buah pinggang atau ginjal ini. Antaranya ialah infeksi saluran kencing, saluran kencing tersekat kerana adanya batu dalam ginjal atau disebut juga sebagai batu karang, tekanan darah tinggi, diabetes mellitus, glomerulonephritisnephrosis dan lain-lain.

Gejala Sakit Buah Pinggang

  • Terasa sakit ketika kencing
  • Kerap kencing terutama pada waktu malam
  • Kencing berdarah iaitu air kencing bercampur dengan darah
  • Sukar untuk tidur
  • Tekanan darah tinggi
  • Terasa lemah dan letih
  • Bengkak pada kaki
  • Sakit pada bahagian belakang terutama pinggang dan punggung
  • Terasa mual dan loya
  • Perubahan jumlah air kencing samada terlalu banyak atau terlalu sedikit
  • Kencing kotor iaitu warna air kencing yang terlampau kuning atau kemerahan atau cokelat
  • Sembap pada keliling mata yang berlarutan terutama pada sebelah pagi
  • Kencing tidak lawas

Punca Sakit Buah Pinggang

Sakit buah pinggang adalah disebabkan oleh pelbagai perkara antaranya ialah:

  • Pemakanan yang tidak seimbang
  • Kurangnya meminum air iaitu kurang 2.5 liter setiap hari yang menyebabkan tubuh menjadi kekeringan dan pada masa yang sama ginjal bekerja keras
  • Pengambilan ubat-ubatan atau makanan yang berkimia secara kerap
  • Merokok
  • Mengamalkan minuman yang manis-manis secara kerap terutama yang mengandungi perisa dan pewarna tiruan
  • Pengambilan minuman beralkohol
  • Tabiat suka menahan kencing
  • Mengamalkan minum air di tengah malam secara kerap
  • Tidak atau kurangnya mengamalkan senaman
  • Tekanan perasaan yang melampau atau stress 

Diagnosis

Pesakit yang mengalami masalah yang berkaitan dengan buah pinggang boleh diperiksa dengan melakukan beberapa kaedah diagnosis untuk mengenalpasti sejauh mana  tahap sakitnya. Pusat Rawatan Islam Elmufeed menggunakan kaedah seperti:

1. Saraf Tapak Tangan (The Sign of Hand-Palmistry)

  • Ruas ketiga jari kelingking membuncit
  • Rasa ketulan pada ruas ketiga jari kelingking
  • Ruas jari ketiga seluruh jari membuncit
  • Pangkal kuku berwarna hitam
  • Garis-garis halus menegak jelas kelihatan pada ruas-ruas jari
2. Iridologi (Iridology)

Menggunakan alat atau mesin iridologi (computerized iridology analysis) untuk mengenalpasti pada sistem pembuangan (elimination) iaitu pada Zon 5 antara jam 5-6 (mata kanan) dan antara jam 6-7 (mata kiri). Kaedah iridologi ini boleh melihat keadaan jaringan organ tubuh dalam 5 tahap samada pada tahap normal, acute, sub-acute, chronic atau degenerative.


Rawatan dan Terapi

Pesakit buah pinggang boleh dirawat dengan beberapa kaedah rawatan dan terapi bergantung jenis sakit, keadaan tubuh pesakit dan selepas melakukan diagnosis atau pemeriksaan. Antara terapi yang boleh dilakukan ialah:
  1. Al Hijamah (bekam)
  2. Akupuntur (acupuncture)
  3. Refleksologi (reflexology)
  4. Rawatan berasaskan herba
Semoga dengan paparan info berkenaan dengan buah pinggang atau ginjal ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat ke arah penjagaan tubuh badan agar sentiasa sihat sepanjang hayat dan membantu memudahkan menjalani ibadah seharian kita kepada Allah SWT serta menjadi insan yang bertaqwa.


Al faqir ilallah:
HISHAM MOHAMAD


December 6, 2011

Tata Cara Makan Dan Minum Rasulullah SAW

Nabi Muhammad SAW merupakan penghulu umat akhir zaman adalah insan yang menjadi utusan Allah SWT yang sangat istimewa. Baginda bukan sahaja mempunyai akhlak yang terpuji malah memiliki gaya hidup sihat yang seharusnya dicontohi oleh umatnya.
Allah SWT berfirman:

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
(Surah Al Anbiya' ayat 107)

Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang perlu kita ikuti seperti dalam firmanNya:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." 
(Surah Al Ahzab ayat 21)

Sebagai permulaan ke arah kesihatan tubuh maka Rasulullah SAW telah mengajar kita beberapa perkara tentang makan dan minum. Perkara asas yang diajarkan baginda kepada kita ialah dengan melakukan 3 perkara sebelum makan iaitu:
  1. memulakan dengan membaca basmalah
  2. makan dengan tangan kanan
  3. mula menjamah makanan yang paling hampir
Jika seseorang itu terlupa membaca basmalah, maka ia boleh membacanya ketika dia teringat dengan membaca; 

Terdapat beberapa prinsip Rasulullah SAW dalam pemakanan iaitu:
  1. hanya makan makanan yang HALAL dan THOYYIB (kandungan yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan)
  2. makan tidak sehingga kenyang
  3. makan tidak melebihi 1/3 perut kerana 1/3 lagi untuk minuman dan 1/3 terakhir adalah untuk pernafasan (udara).
Antara beberapa perkara lain tentang tata cara Rasulullah SAW ketika menghadapi makanan ialah:
  1. makan secara berjamaah
  2. duduk dalam keadaan baik, tegap dan tidak bersandar agar makanan turun dengan sempurna.
  3. mencuci tangan sebelum makan
  4. bersikap sederhana dan tidak berlebihan
  5. tidak memenuhi mulut dengan makanan yang banyak
  6. tidak banyak berbicara ketika sedang makan
  7. tidak meninggalkan sisa makanan 
  8. membersihkan sisa makanan yang ada pada jari-jari dengan menggunakan mulut setelah selesai makan
  9. setelah selesai makan, mengucapkan alhamdulillah
  10. Mencuci tangan setelah selesai makan
Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kita beberapa tata cara tentang minum iaitu:
  1. berniat minum kerana beribadah kepada Allah SWT
  2. tidak minum sekali teguk tetapi minum dengan 2 atau 3 teguk yang dimulakan dengan menyebut bismillah dan diakhiri dengan alhamdulillah
  3. minum dengan menggunakan tangan kanan
  4. bernafas 3 kali ketika minum dan hembusan nafasnya adalah di luar gelas
  5. dianjurkan minum dalam keadaan duduk 
  6. Rasulullah SAW melarang minum dari bekas yang pecah
Semoga kita sama-sama dapat mencontohi segala perilaku dan perbuatan Rasullullah SAW yang diajarkan kepada kita. Sudah tentu setiap perbuatan Rasulullah SAW itu ada hikmah dan barakah yang tersendiri kerana setiap sunnah Rasulullah SAW itu adalah wahyu daripada Allah SWT.

“I'll try to follow your way
And do my best to live my life
As you taught me
I pray to be close to you
On that day and see you smile
When you see me
Sallu ‘ala Rasulillah, Habibil Mustafa
Peace be upon The Messenger
The Chosen One”

(The Chosen One-Maher Zain)

Al faqir ilallah:
HISHAM MOHAMAD