Air dan Wudhu'
Islam mengajar umatnya tentang penjagaan kebersihan. Mengapa kebersihan sangat dititikberatkan? Kerana kebersihan mempunyai hubung kait dengan kesihatan. Di dalam kitab Fiqh Imam Syafie rahimahullah, perkara pertama yang dibicarakan selepas bab aqidah ialah bab taharah atau bersuci dari sebarang kekotoran dan najis yang menunjukkan bahawa perkara utama bagi seseorang muslim itu memulakan kehidupannya ialah dengan membersihkan dirinya agar menjadi lebih bertenaga, sihat dan kuat untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT.
Air (H2O) merupakan unsur terpenting dalam kehidupan manusia untuk pelbagai guna. Walaupun begitu, tidak semua jenis air boleh digunakan untuk tujuan menyucikan kotoran dan najis. Islam menggariskan hanya terdapat 7 punca air utama sahaja yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu air laut, air sungai, air telaga, air hujan, air mata air, air embun dan salji. Jika dikaji mengapa perlu menggunakan 7 punca air ini sahaja? Air-air ini merupakan air yang mempunyai oxygen dan energy yang luar biasa yang jika digunakan dengan betul akan memberi kesan kesihatan
yang baik pada tubuh.
Wudhu' pada rukunnya cuma ada 6 rukun iaitu niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh kedua kaki hingga ke buku lali dan tertib. Akan tetapi, wudhu' menjadi lebih sempurna dengan adanya sunnah wudhu' seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW dan setiap sunnah itu tentu ada hikmah disebaliknya.
Seterusnya memasukkan sedikit air ke dalam hidung, menyedut dan menghembuskannya atau disebut sebagai istinsyaq. Ada kajian yang telah dilakukan dan mengatakan bahawa dengan melakukan istinsyaq dapat membersihkan hidung dari kuman dan kotoran. Selain itu, cara ini juga dapat membantu menyihatkan hidung, kerongkong dan paru-paru. Ada pendapat mengatakan istinsyaq boleh menghindarkan dari terkena penyakit resdung.
Membasuh muka merupakan rukun dalam wudhu'. Antara kelebihan membasuh muka sebanyak 3 kali dengan cara yang betul mengikut sunnah ialah dapat membersihkan segala kotoran yang ada pada wajah, menegangkan kulit muka, awet muda iaitu dengan cara mengurut sedikit kulit pipi ke arah atas, menaikkan seri wajah dan menajamkan penglihatan. Selain itu, membantu menguatkan organ-organ tubuh seperti ginjal, usus, jantung, perut, paru-paru, limpa, liver dan pundi kencing. Bagaimana proses ini berlaku ialah kerana pada kulit wajah terdapat beberapa titik acupuncture dan meridians yang apabila diaktifkan akan menghasilkan energy atau chi yang akan mengalir ke seluruh tubuh. Penggabungan hydrotherapy dan acupressure secara tidak langsung ini membantu memantapkan dan meningkatkan energy dan tahap kesihatan seseorang.
Mengurut tapak kaki atau dikenali sebagai terapi reflexology merupakan salah satu cabang ilmu perubatan yang terkenal di seluruh dunia yang dapat membantu merawat pelbagai jenis penyakit. Antaranya ialah dapat melancarkan pengaliran darah, meningkatkan daya tahan individu, mengurangkan risiko tulang reput, menyeimbangkan kedudukan badan, melancarkan pergerakan, menguatkan otot kaki, mengurangkan risiko kencing tidak lawas, menguatkan tulang dan pinggul, mengurangkan risiko sakit sendi, mengurangkan rasa letih, mengelak risiko sembelit, mengurangkan masalah usus dan mengurangkan masalah pada bahagian peranakan.
Tulisan ini hanyalah sebuah bacaan ilmiah secara ringkas sahaja. Jika dihuraikan hasil kajian secara lebih terperinci tentang kelebihan-kelebihan yang tersembunyi di sebalik sunnah Rasulullah SAW itu sudah tentu terlampau banyak. Apa yang penting mengamalkan sunnah secara istiqamah dan perlulah mengetahui sedikit sebanyak kelebihan-kelebihannya. Umat Islam seharusnya peka dengan sesuatu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dalam dunia moden hari ini, orang kafir yang bersungguh-sungguh mengkaji sunnah Rasulullah SAW dan mereka mengkomersialkannya dalam bentuk perniagaan yang menguntungkan dan oleh kerana kelekaan, maka umat Islam ketinggalan dalam pelbagai bidang.
Kita sering mengaku cintakan Nabi SAW tetapi persoalannya sejauh mana kita mengamalkan sunnah yang ditinggalkan baginda dan sejauh mana kita mengkajinya. Tulisan ini cuma membicarakan tentang sunnah dari aspek perubatan dan kesihatan sahaja tidak dari perspektif yang lain.
Konklusinya, berdasarkan ilmu yang diajarkan oleh Nabi SAW ini, umat Islam mesti menjadi umat yang jauh lebih sihat dan kuat berbanding orang-orang kafir.








0 comments:
Post a Comment