Pages

June 4, 2013

Keutamaan Memilih Makanan

Setiap manusia memerlukan makanan dan minuman untuk terus hidup sebagai bahan yang membekalkan keperluan organ dan anggota tubuh. Terdapat pelbagai jenis makanan di atas muka bumi ini tidak kira samada makanan itu dari jenis yang asli semulajadi atau yang telah diproses menjadi suatu bentuk makanan tertentu. Begitu juga dengan makanan dari aspek kesihatan, ada makanan yang sihat dan sangat baik serta bermanfaat untuk tubuh badan dan ada juga makanan yang tidak sihat malah memudaratkan.

Walau bagaimanapun Allah SWT telah mengingatkan kita bagaimana cara memilih makanan yang terbaik seperti firmanNya dalam Surah Al Baqarah ayat 168:

“Hai sekalian manusia, makanlah yang HALAL LAGI BAIK dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."

Allah SWT juga berfirman dalam Surah An Nahl ayat 114:

“Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang HALAL LAGI BAIK, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata”

Jelaslah di sini, Allah menyuruh kita supaya memakan makanan yang halal lagi baik atau disebut halalan toyyiban. Halal adalah dari aspek hukumnya dan toyyiban dari aspek kesihatan dan boleh diertikan juga sebagai sihat. Maksudnya di sini ialah, aspek utama untuk kita memilih makanan mestilah yang utamanya adalah HALAL dan yang keduanya adalah SIHAT. 

Jika kita mengabaikan 2 aspek ini iaitu HALAL dan SIHAT dalam pemakanan, bermakna kita sengaja menzalimi diri sendiri kerana mengambil atau memakan makanan yang tidak halal atau haram maka neraka yang paling layak baginya. Sekiranya mengambil atau memakan makanan yang tidak sihat sudah tentu seseorang itu akan jatuh sakit dan menjadikan badan lemah dan tidak bermaya.

Oleh itu, jangan sesekali memandang ringan terhadapa aspek halal dan sihat dalam memilih sesuatu makanan,   kerana menjadi suatu tanggungjawab dan kewajipan untuk kita berusaha mencari yang halal dan bukannya memberi seribu alasan.

Setelah sesuatu makanan itu disahkan halal tanpa keraguan, maka perlulah kita melihat kepada 2 faktor lain iaitu antara sihat dan sedap yang mana menjadi keutamaan. Berikut merupakan turutan keutamaan dalam memilih makanan yang mesti diberi perhatian.

1. Makanan yang SIHAT dan SEDAP
Bentuk makanan sebegini jarang kita jumpa apatah lagi di restoran-restoran atau kedai-kedai makan. Jika ada restoran yang menyediakan menu seperti ini, maka sudah tentu akan menjadi pilihan kita. Walau bagaimanapun kita masih boleh berusaha untuk memastikan makanan kita sihat dan sedap mengikut citarasa sendiri iaitu dengan memasak sendiri di rumah tanpa mencampurkan dengan bahan-bahan yang tidak sihat seperti monosodium glutamate (MSG), aspartame, garam dan gula yang berlebihan dan lain-lain. Contoh lain makanan yang sihat dan sedap ialah daripada sumber yang asli seperti buah-buahan tetapi mestilah memastikan ianya bebas daripada racun dan suntikan.

2. Makanan yang SIHAT dan TIDAK SEDAP
Kebiasaannya kita akan jumpa bentuk makanan sebegini, selalunya sesuatu makanan yang sihat itu tidak sedap, tetapi apakah kerana makanan itu sendiri yang tidak sedap atau tukang masak itu yang tidak tahu memasaknya? Apa yang paling penting adalah kesihatan, biarlah makan makanan yang tidak sedap pun tidak mengapa asalkan ianya sihat sebab makan makanan yang tidak sedap tidak memudaratkan tubuh berbanding memakan makanan yang tidak sihat. Contoh makanan yang sihat dan tidak sedap antaranya makanan yang bercampur dengan herba-herba alami kadangkala rasanya pahit, kelat, masam, tawar dan sebagainya tetapi tidaklah semua herba bersifat sedemikian. Masakan yang kurang gula, kurang garam, tiada perisa tiruan dan tiada bahan kimia biasanya tidak sedap tetapi amat baik kepada kesihatan.

3. Makanan yang SEDAP dan TIDAK SIHAT
Inilah bentuk makanan yang paling banyak dan paling mudah kita temui di mana-mana serta menjadi pilihan ramai orang. Restoran-restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, pengusaha-pengusaha makanan, dan buku-buku resepi kebanyakkannya menyediakan menu seperti ini. Ramai yang memilih sedap berbanding sihat sedangkan sedap itu hanya pada lidah semata-mata tetapi kesihatan melibatkan seluruh tubuh. Apa yang akan terjadi pada tubuh kita sekiranya memakan makanan yang tidak sihat walaupun ianya sedap? Sudah tentu memudaratkan seluruh tubuh samada dalam jangka masa pendek atau panjang. Contoh makanan yang sedap dan tidak sihat seperti makanan yang biasanya dicampurkan dengan MSG, perisa tambahan yang bukan alami tapi menggunakan bahan kimia, bahan pengawet, perisa dan pewarna tiruan, penggunaan garam dan gula secara berlebihan dan bahan-bahan lain yang bukan asli.

4. Makanan yang TIDAK SEDAP dan TIDAK SIHAT
Secara logiknya sudah tentu ramai yang tidak akan memilih bentuk makanan seperti ini. Akan tetapi, ada juga sesetengah golongan yang terpaksa memakannya seperti fakir miskin yang tiada makanan dan mereka yang berada dalam keadaan dharurat. Sungguhpun begitu, masih ada orang yang sengaja memilihnya seperti peminum arak, menurut mereka yang pernah meminum arak, mereka mengatakan ianya tidak sedap malah berbau busuk, jelasnya arak itu haram ditambah pula tidak sihat dan tidak sedap serta berbau busuk, tetapi tetap juga diminumnya malah berbangga pula dengannya. Inilah bentuk kezaliman terhadap diri sendiri.

Sebagai seorang manusia yang diberi akal fikiran yang waras, seharusnya kita berfikir apakah yang terbaik untuk tubuh badan kita bukannya mengikut hawa nafsu semata-mata sehingga memudaratkan dan menzalimi diri sendiri. Kita perlu sedar, tubuh badan kita mempunyai hak-haknya tersendiri, janganlah sesekali menzaliminya dengan memasukkan sesuatu yang menjadi musuhnya. Tidak hairan jika 'mereka' memberontak, akhirnya mengundang penyakit bersarang dalam tubuh.

Oleh itu, kita perlulah sentiasa berusaha memastikan sesuatu makanan itu halal samada fizikal makanan tersebut atau sumber dari mana kita perolehinya, dan semestinya mementingkan aspek kesihatan walaupun ianya tidak sedap. Semoga kita semua sihat sepanjang hayat, In Shaa Allah.


Al faqir ilallah:
HISHAM MOHAMAD

0 comments:

Post a Comment